Isnin, 19 September 2016

PELIK TAPI BENAR..ular mengganti cincin perkhawinan

BEIJING: Kebiasaannya, pasangan pengantin yang melangsungkan perkahwinan mereka akan bertukar cincin sebagai tanda ikatan hubungan antara suami isteri.
Namun berbeza kisahnya di China yang menyaksikan sepasang pengantin memiliki cara unik untuk mengabdikan perkahwinan mereka apabila saling bertukar ular sawa berwarna emas ketika melangsungkan hari berbahagia mereka.
Menurut portal People's Daily Online, perkahwinan unik itu berlangsung di sebuah hotel dekat wilayah Jilin pada 16 September lalu yang menyatukan Wu Jianfeng dan Jiang Xue.
Pasangan terbabit berkata, pertukaran ular sawa yang masing-masing memiliki berat 30 kilogram dan 15 kilogram itu sebagai cenderahati perkahwinan mereka.
Malah video pertukaran ular tersebut turut dimuat naik dalam laman sosial Weibo sehari selepas majlis perkahwinan itu dan menjadi bualan netizen di China.
Pengantin lelaki, Jianfeng berkata, dia merupakan seorang pencinta haiwan dan tampil dengan idea tersebut sebagai kempen pemuliharaan hidupan liar.
"Saya memberikan ular sawa seberat 30 kilogram kepada isteri, Xue dan dia membalasnya dengan memberi reptilia sama seberat 15 kilogram.
"Jangan memukul atau membunuh ular sawa jika anda terserempak dengan haiwan ini," katanya sambil menambah kedua-dua ular tersebut ditemukan di Bandar Jilin pada tahun lalu.
Kedua-dua reptilia itu merupakan jenis ular sawa Burma yang bermutasi menjadi ular sawa albino dan boleh mencapai panjang kira-kira tujuh meter.

Tinggalkan Umno kerana Nazri halau saya' Mohd Hamidi Abu Bakar

'Tinggalkan Umno kerana Nazri halau saya'
Mohd Hamidi Abu Bakar

SHAH ALAM - Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Selangor Mohd Hamidi Abu Bakar hari ini, bertindak meninggalkan Umno.
Menerusi satu kenyataan Mohd Hamidi berkata, tindakan itu selaras dengan cabaran Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mahu dia keluar daripada parti keramat Melayu itu pada bulan Mei lalu.
"Saya ingin mengimbau sedikit kenyataan Nazri kepada saya pada bulan Mei yang lalu, beliau telah menghalau saya daripada Umno.
"Kepada Nazri, saya telah melakukannya," katanya.
Pada Mei lalu, Mohamed Nazri dalam satu laporan dipetik sebagai berkata, beliau mencabar Mohd Hamidi untuk mengikut jejak langkah pemberontak Umno agar keluar daripada parti itu.
"Dia boleh melihat sama ada ia akan membawa bencana untuk dia," kata Mohamed Nazri sebagai respons kepada komen Mohd Hamidi bahawa pengusiran Tan Sri Muhyiddin Yassin , Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menjadi bencana.
Dalam pada itu Mohd Hamidi mendakwa, beliau akan menarik lebih ramai ahli Umno supaya keluar daripada parti itu selepas melakukannya sendiri hari ini.
"Saya berjanji insya-ALLAH saya akan mengajak lebih ramai lagi ahli Umno yang akan mengikut apa yang telah saya lakukan," katanya.
Dalam pada itu, katanya walaupun tindakan keluar daripada Umno merupakan satu keputusan yang sukar, namun ujarnya dia terpaksa melakukannya.
"Saya ingin memohon maaf pada ibu bapa saya dan keluarga besar saya yang kesemuanya adalah ahli Umno, serta ahli-ahli Umno di kawasan saya yang telah memberi saya sedikit jawatan pada pemilihan yang lepas
"Apa pun ingin saya tegaskan, ini adalah atas dasar prinsip dan keyakinan saya bahawa Umno ini tidak lagi menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
"Orang Melayu sudah mula hilang keyakinan terhadap Umno, kerana ada sesetengah pemimpin Umno yang tidak serius menangani masalah rasuah serta ketirisan,"
#sinarharian.com

Sabtu, 10 September 2016

'Politik tong najis' Mahathir, Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat kejutan besar apabila hadir memberi sokongan kepada musuh ketatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah pada 5 September lalu.
Selepas 18 tahun, pertemuan itu dianggap detik penuh sejarah apabila kedua-dua musuh politik itu bertentang mata dan dilihat berjabat tangan.
Pertemuan antara kedua-dua tokoh itu menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi. Antara penyokong Mahathir (baca: Parti Pribumi Bersatu Malaysia - BERSATU), Datuk Seri Najib Razak (baca: BN) dan Anwar (baca Pakatan Harapan) masing-masing mentafsirkan pertemuan itu dengan perspektif yang berbeza-beza.
Tidak kurang juga yang bersikap sinis terhadap kedua-dua tokoh itu dan menganggap pertemuan tersebut sebagai lawak terbaik yang pernah dipersembahkan di abad ini.
Pak cik dan mak cik di kampung-kampung barangkali menerima berita tersebut dengan mulut hampir ternganga.
Apa yang berlaku selepas ini, tiada sesiapa yang dapat menjangkakannya. Barangkali Malaysia memerlukan seorang Nostradamus untuk meramalkan kejutan demi kejutan yang bakal berlaku dalam politik negara.
Yang pasti masih terlalu awal untuk merumuskan pertemuan kedua-dua tokoh itu dan kesannya kepada lansdkap politik tanah air.
Kejutan dan drama
Kedua-dua tokoh itu sememangnya penuh dengan kejutan dan drama. Sebagai pemimpin yang bergelumang dalam dunia politik berpuluh tahun lamanya, tentu kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dan kebijaksaan politik tersendiri.
Kebijaksanaan politik itu memerlukan strategi pintar serta percaturan nakal yang kadang kala sukar pula diramal.
Ibarat pendekar yang sedang berpencak silat dalam gelangang. Dan sebagai pendekar, tentu sekali gaya dan langkah kependekaran itu memerlukan kepintaran tinggi juga, dan sedikit sebanyak tipu muslihat.
Pertemuan 5 September itu juga tidak mungkin berlaku secara spontan atau tanpa dirancang, sekurang-kurangnya di pihak Mahathir.
Melalui berita dan gambar, kita hanya tahu Mahathir menemui Anwar, manakala Anwar menyambut salamnya dengan senyuman termanis yang dapat diberikan.
Selebihnya, apa yang berlaku di belakang tabir sebelum pertemuan itu, hanya mereka yang tahu. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang kini semakin kuat dan berpengaruh dalam PKR tentu lebih arif mengenai hal ini.
Sebagai ahli politik, tidak ada sebab mengapa Anwar perlu mengelak daripada bertemu Mahathir. Ia adalah kesempatan terbaik baginya untuk menonjolkan dirinya sebagai tokoh berjiwa besar dan bukan pendendam di sebalik dakwaan sekian lama dia dianiaya bekas bosnya itu.
Bagi Mahathir pula tindakannya itu juga pasti dilihat seperti menjilat ludah sendiri. Namun itu sudah tidak penting bagi dirinya kerana keutamaannya pada masa ini adalah menjatuhkan Najib.
Mesej dan wahyu daripada Anwar
Adalah jelas bahawa Mahathir mahu menyampaikan mesej tertentu kepada bekas anak didik dan musuh paling ketatnya dalam sejarah.
Pada kenyataannya selepas itu, Mahathir mengatakan beliau hadir bagi menyokong usaha Anwar mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada perdana menteri.
Selain itu, mesej-mesej yang dihantar mungkin perlu dibaca secara tersirat. Daripada mesej tersirat itu pula, tidak keterlaluan untuk ditafsirkan bahawa Mahathir sedang mendapatkan sokongan Anwar terhadap parti yang baru yang diasaskannya - BERSATU.
Mahathir tahu bahawa parti baru yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak akan dapat bergerak sendiri tanpa sokongan dan bantuan parti-parti pembangkang lain.
Mahathir juga kini mungkin menyedari kesilapan peribadi yang pernah dilakukan Anwar tidak sehebat kesalahan yang dilakukan Najib.
Tetapi adalah mustahil untuk Mahathir meminta maaf atau mengakui beliau terlibat dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan dan memenjarakan Anwar seperti yang dipercayai sebahagian besar penyokong pembangkang.
Setakat ini, pendirian Mahathir mengenai salah laku seks Anwar adalah jelas dan tidak berubah. Permohonan maaf kepada Anwar dan penyokongnya hanya akan membunuh dirinya sendiri dan mencampaknya dalam tong sampah sejarah.
Pada masa sama, tidak semua pimpinan dan anggota pembangkang, terutama PKR bersedia menerima kehadiran Mahathir yang pernah dikecam mereka dengan pebagai gelaran seperti korup, zalim, diktator dan sebagainya.
Sekali lagi, Azmin yang menyaksikan pertemuan bersejarah Mahathir-Anwar itu pasti menyedari sentimen tersebut.
Maka persetujuan dan lampu hijau daripada Anwar diperlukan untuk menggerakkan penyatuan antara pembangkang dan BERSATU.
Isyarat pertemuan itu adalah kompromi untuk melupakan sementara dendam peribadi dan persengketaan antara mereka dengan matlamat yang sama, iaitu menyingkirkan Najib.
Hendak berbaik dengan Anwar bermakna Mahathir dan BERSATU perlu berbaik dengan penyokong-penyokong pembangkang juga.
Maka 'wahyu' Anwar dari penjara diperlukan Mahathir untuk disampaikan kepada tenteranya di bawah.
Seni segala mungkin
Suatu masa dulu tiada siapa menjangka Anwar akan meninggalkan Abim untuk menyertai Umno dan bukan PAS pada 1982.
Orang PAS kecewa dengan keputusan tersebut, apatah lagi imej dan penampilan Islamik Anwar dan datang dari gerakan Islam.
Keputusan Anwar menyertai Umno kononnya dibuat untuk membersihkan parti itu dari dalam. Sejak itu, karier Anwar sebagai tokoh politik bersinar gemerlapan bak bintang-bintang di langit.
Reputasinya dalam politik Umno mencanak naik. Bermula dengan menewaskan Tun Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden Umno pada 1993.
Gandingan Mahathir-Anwar ketika itu dianggap pemimpin terbaik di Asia sehingga pembangkang sukar untuk mendapat tempat.
Tidak menghairankan apabila Anwar sangat dicemburui pemimpin PAS. Tidak terkecuali ayam sabungnya ketika itu, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu.
Ada teori mengatakan semakin cepat naik seseorang ahli politik, semakin cepat pula tiba zaman kejatuhannya.
Apabila berlaku penyingkiran terhadap Anwar, Mat Sabu menyindir dan mengungkit semula keputusan bekas pemimpin Abim itu menyertai Umno.
Satu daripada ayat pedas Mat Sabu berbunyi: Bagaimana mungkin Anwar boleh mencuci tong najis sedangkan dia sendiri berada di dalam tong tersebut?
Kata-kata itu seringkali disebut Mat Sabu dalam ceramah-ceramahnya, sehinggalah detik PAS menyambut salam Anwar dan terlibat bersama-sama dalam gerakan reformasi.

Tiada musuh kekal
Dalam politik, tak ada musuh kekal. Yang ada adalah kepentingan bersama. Ungkapan ini dipetik daripada kata-kata terkenal Henry Kissinger - bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat.
Rumus politik itu mungkin terpakai sejak zaman berzaman sehinggalah sampai kiamat nanti.
Namun dalam pertemuan Mahathir-Anwar, tidak dapat dipastikan siapa yang paling banyak mempunyai kepentingan dan mendapat keuntungan daripadanya.
Sekali lagi, Azmin pasti menyedari perkara itu.
Apapun niat Mahathir, adalah jelas beliau menggerakkan kempen menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Najib yang didakwanya melakukan penyewelengan dan salah guna kuasa.
Mahu tidak mahu, sebagai tokoh reformasi dan pemimpin berjiwa besar, Anwar perlu menyambut salam Mahathir demi "menyelamatkan negara" dan mengetepikan marahnya kepada bekas perdana menteri itu.
Kini, kedua-dua tokoh itu - sama ada Anwar atau Mahathir sendiri - sudah berada di luar tong najis seperti pernah diperkatakan Mat Sabu.
Anwar sudah meninggalkan Umno hampir dua dekad lamanya, manakala Mahathir sendiri menubuhkan parti baru untuk menentang parti yang pernah didukungnya sebagai presiden selama lebih 20 tahun.
Mat Sabu sudah lama berbaik dengan Anwar, dan yang terbaru duduk sepentas bersama Mahathir.
Sama ada Mahathir atau Anwar sendiri mungkin sudah tidak lagi 'berselera' untuk membersihkan tong najis itu dari luar.
Mereka kini nampaknya lebih berminat untuk menukar terus tong tersebut dan menggantikannya dengan tong baru yang lebih bersih dan tidak tercemar.
Apakah mereka berjaya menukarkan tong itu nanti, hanya masa dapat menentukan.

Malaysiakini.

Umno bergegas adakan PRU14 elak pembangkang bersatu?

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa menekankan kepentingan pembangkang untuk bersatu bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Mungkin ini sebab-musabab tindakan mengejutkan Mahathir yang merungkai permusuhan selama 18 tahun dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjurus kepada perdamaian.
Banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai petanda sesuatu yang mendatang sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan pembangkang.
Tetapi Umno tentunya tidak akan hanya duduk dan tidak berbuat apa-apa. Baru-baru ini, khabar angin bertiup kencang mengenai pilihan raya umum ke-14 bakal diadakan seawal Mac tahun depan.
Perkembangan tersebut diakui oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang melihat potensi pilihan raya umum diadakan lebih awal agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mempunyai masa untuk mengatur pergerakan.
"Itu mungkin salah satu faktor," kata Lim kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada pilihan raya umum awal akan memihak kepada pembangkang.
Ditanya sama ada DAP bersedia menghadapi pilihan raya umum lebih awal , anggota parlimen Gelang Patah itu menambah, pihaknya tidak mampunyai pilihan tetapi menghadapinya.
Bagaimanapun, jika pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac 2017, Lim percaya bahawa ia akan mengejutkan semua orang, termasuk parti pemerintah sendiri di luar kawalan.
"Beberapa pemimpin Umno mengatakan mereka sentiasa bersedia tetapi saya fikir semua orang akan terkejut," tambahnya.
Namun, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengatakan beliau telah mendengar mengenai pilihan raya umum lebih awal sejak sekian lama.
"Cakap-cakap selalu berbunyi (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) mahu mengadakan pilihan raya selepas sambutan raya tahun depan.
"Bagaimanapun, jika beliau berasa peluang lebih baik jika pilihan raya diadakan sebelum itu, beliau akan mengadakannya seawal bulan Mac," tambahnya.
Anggota parlimen Pandan itu turut mengakui beliau pada mulanya meragui tarikh pilihan raya lebih awal itu kerana parti pemerintah akan memerlukan sejumlah dana yang banyak untuk menghadapi pilihan raya umum.
Namun, pengumuman Putrajaya baru-baru mengenai projek Taman Tugu bernilai RM650 juta membuktikan menimbulkan persoalan yang cukup besar, ujar Rafizi.
Jadi apakah pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihan raya?
Rafizi berkata, orang ramai marah dengan Najib disebabkan oleh isu-isu yang melingkari Perdana Menteri. Ini membawa makna separuh daripada tugas pembangkang telah selesai.
"Hampir tiada apa-apa yang pembangkang perlu sediakan dengan tugasan berdepan dengannya tidak lagi menjadi seperti dahulu.
"Kalau kebiasaannya, pembangkang berdepan kesukaran dalam bilangan program dan ceramah untuk mengenengahkan isu-isu kerana menanggung kos dan masa - dan semua itu telah selesai," ujarnya.
Bagaimanapun, Rafizi melahirkan kebimbangan mengenai sepantas mana parti-parti pembangkang dapat menyelesaikan perbezaan terutama rundingan kerusi.
Cabaran dalam merundingkan kerusi
"Dalam usaha untuk mendapatkan tahap kesediaan kepada kira-kira 70 peratus pada Februari akan datang, rundingan kerusi perlu dimuktamadkan pada Disember.
"Jika ia melepasi bulan Disember, orang ramai akan bosan dan pastinya isu seperti ini tidak akan memberi kelebihan kepada kami," jelas beliau.

Credit: Malaysiakini