SEDUTAN video menunjukkan Ridsdell merayu supaya wang tebusan dibayar.
Manila: Kumpulan Abu Sayyaf semalam mengumumkan 25 April ini tarikh akhir baru bagi membayar wang tebusan untuk tiga warga asing dan seorang wanita Filipina yang diculik mereka.
Menerusi rakaman video yang disiarkan di Internet, kumpulan berkenaan menurunkan bayaran wang tebusan dan mengancam membunuh semua mangsa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.
Dua lelaki Kanada dan seorang lelaki Norway serta seorang wanita tempatan diculik kumpulan lelaki bersenjata dari sebuah resort di selatan Filipina pada September tahun lalu.
Mereka dipercayai disembunyikan di kawasan hutan di pulau Jolo yang dikenali sebagai kubu kuat Abu Sayyaf.
Dalam video berkenaan, tebusan itu yang diacukan pisau di leher merayu keluarga dan kerajaan mereka membayar wang tebusan berjumlah 300 juta peso (RM25.34 juta) untuk setiap seorang.
Jumlah wang tebusan itu turun berbanding tuntutan sebelum ini iaitu 1 bilion peso (RM84.46 juta) untuk setiap seorang.
“Ini adalah peringatan terakhir. Kami akan memenggal seorang daripada mereka pada jam 3 petang, 25 April ini,” kata seorang militan bertopeng. – Reuters/HMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan