Di kawasan berhampiran Laut Mediterranean, terdapat sebuah pulau dengan pemandangan indah dikatakan mempunyai udara ‘berbeza’ yang membuatkan sesiapa saja yang tinggal di situ panjang umur.
Sardinia, sebuah wilayah autonomi Itali, menjadi antara tumpuan saintis yang mahu mencungkil rahsia usia panjang lelaki dan wanita di sana, kebanyakannya mencecah 100 tahun.
Dengan penduduk hanya 1.6 juta, Sardinia disahkan sebagai kawasan paling ramai memiliki penduduk berusia satu abad.
Biarpun saintis belum dapat mengesahkan rahsia penduduk Sardinia, namun secara pandangan kasar, gaya hidup sihat selain memiliki genetik yang bagus, menjadi antara punca penduduk di sana terus menikmati kehidupan dengan sihat sehingga usia lanjut.
Antaranya keluarga Melis yang diiktiraf oleh Guinness World Records pada 2012 kerana memiliki sanak-saudara paling ramai berusia melebihi 80 tahun apabila usia mereka digabungkan.
Seramai sembilan adik-beradik dalam keluarga itu apabila digabungkan mencatat usia 818 tahun, dengan yang sulung, Consolata, mencapai usia 108 tahun dan yang bongsu Mafalda, mencecah 84 tahun.
Selepas puas menjalani kehidupan bahagia dan sihat, Consolata akhirnya menghembuskan nafas, tahun lalu pada usia 108 tahun.
Keluarga yang mempunyai pertalian sangat rapat itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 150 anak, cucu dan cicit.
Ketua Pengarah Guinness World Records, Craig Glenday, berkata genetik dan gaya hidup menjadi kunci kepada usia panjang keluarga itu.
“Mereka juga bernasib baik kerana tidak mengalami kemalangan atau jatuh, hingga memiliki ahli keluarga yang semuanya berusia lanjut, sesuatu yang sangat jarang kita temui,” katanya.
Menurut Alfonso Melis, seorang daripada adik-beradik itu, rahsia usia panjang bukan sesuatu yang sukar dicapai.
“Kami makan makanan yang sebenarnya iaitu banyak ‘minestrone’ atau sup sayur Itali bersama pasta atau nasi, kurangkan daging dan sentiasa bekerja,” katanya.
Pada usia yang sudah mencecah 89 tahun, dia masih sibuk bekerja di sebuah kafe miliknya ataupun di kebun sayur, apabila dia banyak menanam kekacang, terung, lada dan kentang.
Kakaknya, Claudia, yang masih kuat menghadiri gereja setiap pagi pada usianya 99 tahun turut memberi jawapan sama, iaitu sentiasa sibuk bekerja dan makan minestrone, kekacang dan kentang.
Tinggal di Perdasdefogu, sebuah kampung di wilayah gunung-ganang Sardinia, kesihatan keluarga Melis melambangkan tahap kesihatan yang baik di kawasan itu.
Ketika ini, kira-kira 370 penduduknya mencapai usia 100 tahun, suatu angka yang besar iaitu 20 kali ganda berbanding penduduk di Amerika Syarikat.
Penduduk Sardinia juga mengamalkan ucapan tradisional dalam budayanya iaitu ‘a kent annos’ atau membawa maksud ‘semoga anda hidup sehingga 100 tahun’.
Pengkaji dari Universiti Sassari di bahagian barat laut Sardinia, Luca Deiana berkata, genetik memainkan peranan besar dan mendapati penduduk yang tinggal di kawasan pusat timur wilayah itu memiliki usia lebih panjang.
Kawasan geografi yang lasak, tiada kemasukan orang luar dan terdapat hanya sedikit perkahwinan dengan masyarakat luar, mengekalkan ciri genetik yang menyumbang kepada kesihatan yang baik.
Sebagai contoh, Deiana bersama pasukannya terdiri daripada 25 doktor dan ahli biologi mengesan sejenis gen dalam kromosom Y penduduk yang mampu menurunkan risiko serangan jantung dan strok dalam kalangan lelaki.
Gen itu diwariskan daripada ayah kepada anak lelaki, mampu menerangkan nisbah wanita dan lelaki berusia lanjut yang ada di wilayah itu, iaitu 1:1, sedangkan nisbah di seluruh dunia adalah 1:4.
Pemakanan mereka juga memberi kebaikan kepada tubuh. Diet penduduk sarat dengan nutrien sihat daripada sayur segar yang ditanam sendiri, dihidangkan secara ringkas bersama minyak zaitun, lemon, bawang putih dan beberapa jenis rempah.
Mereka juga gemar mendapat khasiat protein daripada susu dan keju selain kurang makan makanan bergula atau daging.
Kebanyakannya hanya makan daging sekali dalam tempoh seminggu dan biasanya dalam hidangan kecil, tetapi dimakan bersama sayur dalam jumlah yang banyak.
Cuaca yang sentiasa menyenangkan, membuatkan penduduknya memiliki mood yang baik. Ada segelintir penduduknya percaya mitos yang mengatakan ‘ada sesuatu’ dalam udara kawasan itu hingga penduduknya panjang umur, adalah benar.
Pada masa sama, Deiana percaya budaya Sardinia juga antara faktor besar yang menyumbang kepada usia panjang penduduknya.
Di Sardinia, orang tua dihormati, disayangi seluruh keluarga, diletakkan di peringkat tertinggi dan mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian keluarga.
Kebanyakan mereka aktif dan digalakkan menyertai pelbagai acara sosial di wilayah berkenaan. Mereka menjalani kehidupan bermakna dan tidak hanya duduk di rumah orang tua.
Selain Sardinia, kawasan lain yang mempunyai ramai penduduk berusia lanjut hingga 100 tahun:
1. Semenanjung Nicoya, Costa Rica, Amerika Tengah
Ramai penduduknya mencapai usia 90 tahun dan rahsianya, mereka jarang sakit kerana mengamalkan pemakanan seperti roti tortila, labu, betik, keladi, kacang hitam, pisang, buah kelapa sawit dan buah oren kecil tempatan.
2.Loma Linda, California, Amerika Syarikat
Loma Linda memiliki kepadatan tertinggi penduduk berusia lanjut dan mereka mengamalkan diet berasaskan tumbuhan dan sedikit produk tenusu dan ikan. Antara makanan yang sering diambil ialah avokado, salmon, kekacang, air yang banyak (antara enam hingga lapan gelas setiap hari), oat, roti gandum dan susu soya tanpa gula.
3. Ikaria, Greece
Penduduk di sini masih bertenaga biarpun sudah berusia lanjut. Ini kerana mereka mengamalkan diet Mediterranean termasuk minyak zaitun, sayuran kampung, kentang, keju feta, kacang hitam, kacang kuda, lemon, herba Mediterranean, kopi dan madu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan