Selasa, 8 Mac 2016

BANGLADESH TIMBANG GUGUR ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI

BANGLADESH – DHAKA — Mula merdeka pada tahun 1971, Bangladesh merupakan negara Asia Selatan pertama yang mengamalkan perlembagaan bersifat
sekular.

Namun antara 1977 dan 1988, kerajaan Bangladesh cuba menerapkan unsur keislaman, sehinggalah Islam diiktiraf
menjadi agama rasmi negara sewaktu pemerintahan bekas diktator tentera Hussain Muhammad Ershad, yang
mengambil alih kuasa sebagai presiden ke-10.

Kini, 28 tahun kemudian, sistem kehakiman negara tersebut mula mengambil langkah untuk menyoal status Islam dalam perlembagaannya, lapor portal bdnews24.

Mulai awal minggu ini, Mahkamah Tinggi di sini telah menubuhkan panel yang diketuai Hakim Naima Haider
untuk mendengar petisyen daripada 15 rakyat ternama yang menyoal status tersebut.

Lima belas individu tersebut memfailkan petisyen mereka sejak 1988 selepas pendekatan Ershad, tetapi tiada
tindakan susulan diambil sehinggalah Mahkamah Tinggi Bangladesh memutuskan pada Disember tahun 2011 untuk menyemak kembali status Islam sebagai agama negara.

Ekoran keputusan tersebut, peguam 15 individu tersebut, Zoglul Haider Afrik memfailkan petisyen pada September
tahun lepas untuk memulakan pendengaran, yang akhirnya bermula Isnin lepas.

Antara ahli kumpulan tersebut termasuklah bekas hakim Mahkamah Agung Kamal Uddin Hossain, mejar jeneral
bersara CR Dutta, profesor negara Kabir Chowdhury, penulis Badaruddin Umar, dan wartawan Faiz Ahmed.

Daripada 15 ahli tersebut, cuma empat masih hidup, termasuk Dutta dan Umar.
Portal Breitbart melaporkan bahawa tindakan kehakiman bermula minggu ini selepas beberapa insiden keganasan
yang menyebabkan kematian beberapa penganut Hindu, Kristian dan minoriti Syiah dalam jenayah kebencian sejak beberapa bulan lepas.

Sejak 2013 juga, sembilan para penulis, pemblog dan penerbit pro-sekularisme di Bangladesh telah dibunuh oleh para pelampau Islam, atas tuduhan mereka ateis.
“Apabila sesuatu negara mengiktiraf agama rasmi, ia meletakkan tembok kepada keharmonian perkauman,
kerana ia mengiktiraf ketuanan sesuatu agama dan.merendahkan agama lain,” kata Biskop Bejoy N D’Cruze dari Sylhet kepada Breitbart.

“Kami berharap dan menggesa semua agama di.Bangladesh diberi taraf yang sama dari segi status dan kehormatan,” tambah D’Cruze, yang juga pengerusi
Suruhanjaya Perpaduan Kristian dan Dialog Antara Agama.

“Agama rasmi negara mewujudkan ketuanan Islam ke atas agama lain, menawarkan ‘senjata’ kepada para
Islamis radikal untuk menindas komuniti minoriti,” kata Govinda Chadra Pramanik, setiausaha Pakatan Agung Hindu Kebangsaan Bangladesh pula.

“Sebagai agama rasmi negara, Islam memberi tekanan psikologi kepada golongan minoriti, dan membuatkan
mereka mudah terbuka kepada penindasan dan eksploitasi,” kata beliau.

Penganut Islam merupakan 89 peratus daripada 169 juta warga Bangladesh — kebanyakannya penganut fahaman
Ahli Sunnah Wal Jamaah — diikuti penganut Hindu 9.5 peratus.

Bangladesh cuma mengiktiraf empat agama: Islam, Hindu, Buddha, dan Kristian. – TMMO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan