Bekas Timbalan Perdana MenteriTtan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertahankan Deklarasi Rakyat yang
antara lain menuntut supaya Datuk Seri Najib Razak.dilucutkan sebagai perdana menteri dengan berkata bahawa tiga perdana menteri sebelum ini ditukarkan
dengan cara yang sama.
“Desakan supaya perdana menteri berundur tanpa menunggu pilihanraya dengan tidak mengubah kerajaan sedia ada bukan perkara baharu sebagaimana yang
pernah berlaku di zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur untuk memberi laluan kepada
Najib.
“Dalam semua keadaan kerajaan BN pada waktu itu tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Oleh itu, Muhyiddin berkata usaha menyingkirkan Najib seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Rakyat yang
dimeterainya pada Jumaat lalu, adalah tidak berbeza daripada apa yang berlaku ke atas beberapa perdana menteri sebelum ini.
“Cuma yang berbeza ialah latar belakang tuntutan berundur adalah atas sebab politik bukan atas isu skandal yang berkait dengan persoalan moral dan integriti sebagaimana yang berlaku terhadap pimpinan Najib sekarang.
“Ia bukan lagi isu kepimpinan Umno, tetapi sudah melimpah menjadi isu negara,” katanya.
Muhyiddin berkata mereka yang beranggapan bahawa sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib sebagai
perdana menteri hanya boleh dilakukan semasa pilihan raya umum membuat kesilapan besar.
Menurut timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya itu, jika sebahagian besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah beliau berundur
sekarang.
“Jangan tunggu sampai pilihanraya. Jika rakyat menolak Najib dalam pilihanraya bermakna mereka akan menolak BN secara total.
“Ini akan menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya,” katanya.
Muhyiddin berkata jika pemimpin-pemimpin Umno dan BN terus terperangkap dalam sindrom penafian dan terus.mempertahankan seorang individu yang tidak dapat dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka rakyat akan menolak Umno dan BN
secara total.
“Penolakan rakyat bukanlah disebabkan oleh Deklarasi Rakyat, tetapi kerana kegagalan pemimpin Umno untuk
mengemudi bahtera Umno sehaluan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat, iaitu kejujuran,
kebertanggungjawaban, ketelusan dan keadilan dalam memikul amanah kepimpinan.
“Ada pihak yang sengaja menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menutup kelemahan mereka.
“Kononnya saya dan rakan-rakan yang lain telah menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara setelah menandatangani Deklarasi Rakyat.
“Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas,” katanya. – Mkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan