jurugambar mencari sudut menarik untuk mengambil gambar telur ayam berdiri pada majlis perasmian Taman Khatulistiwa dan Hari Tanpa Bayang-bayang di Tugu Khatulistiwa, Pontianak.
Pontianak (Indonesia): Mungkin ramai tidak mengetahui bandar Pontianak di Kalimantan Barat, Indonesia akan mengalami fenomena hari tanpa bayang-bayang yang berlaku dua kali setahun pada setiap September.
Fenomena itu yang juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks berlaku apabila matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan.
Ketika itu, matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengah hari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang jika berdiri di tengah panas berkenaan.
Wakil Balai Pengamatan Dirgantara LAPAN Pontianak Nata Mihardja berkata, bandar Pontianak menjadi tumpuan pelancong pada 21 hingga 23 Mac dan 21 hingga 23 September setiap tahun untuk menyaksikan fenomena luar biasa itu.
Menurutnya, mereka meraikannya melalui sambutan Festival Kulminasi Matahari yang akan berlangsung dua kali setahun di Tugu Khatulistiwa terletak di bandar itu.
“Pelbagai kegiatan kesenian dan kebudayaan diadakan ketika festival berlangsung bagi meraikan detik bersejarah itu apabila matahari tegak di atas kepala tanpa bayang-bayang.
“Tepat jam 11.30 waktu Indonesia Barat, penduduk kota bersama pemimpin masyarakat berkumpul atas pentas khas bagi menantikan detik kedudukan matahari tepat di garisan kosong,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Nata berkata, ketika fenomena itu berlangsung selama tiga minit, satu meja dengan ruang kosong di tengahnya diletakkan di tengah pentas.
“Apabila matahari berada tepat di garisan kosong, cahaya fokus di ruang kosong tengah meja (garisan kosong), manakala di sekeliling meja tiada bayang.
“Apabila bayang di garisan kosong tidak kelihatan, orang ramai mula bertepuk tangan menandakan secara rasminya menyaksikan kulminasi matahari. Fenomena berlaku tiga minit itu diakhiri dengan acara telur berdiri,” katanya.
Bercerita lanjut, Nata berkata, acara telur berdiri unik kerana ketika fenomena itu berlangsung, telur boleh ditegakkan di kawasan landai tanpa tergolek.
“Dalam tempoh ini pengunjung berpeluang mencuba mendirikan telur yang disediakan penganjur. Telur berdiri boleh berlaku dalam tempoh Equinox iaitu kedudukan matahari, bulan dan matahari berada pada sudut paksi sejajar, selain ketika gerhana matahari atau gerhana bulan.
“Ketika itu, dalam kedudukan matahari berada pada sudut paksi sejajar, putih telur tertarik ke bahagian atas, manakala kuning telur tertolak ke bawah untuk membolehkan telur itu menjadi seimbang dan mampu berdiri sendiri,” katanya.
Mengenai tugu Tugu Khatulistiwa di bandar itu, Nata menjelaskan ia dibina ahli geografi Belanda pada 1928 dan tugu itu kemudian dibesarkan pada 1990 dengan ukuran lima kali ganda daripada yang asal.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini kedudukan tugu berkenaan tidak lagi secara tepat berada di kedudukan 0 darjah berikutan pergerakan tektonik bumi sejak 50 tahun lalu dengan menyaksikan garisan 0 berganjak 100 meter dari kedudukan asal.
“Akibat perubahan itu, Tugu Khatulistiwa berada pada garisan 0 darjah, 0 minit, 3.809 saat di Hemisfera Utara dan 109 darjah, 19 minit, 19.9 saat di Hemisfera Timur.
“Kerajaan mengambil inisiatif menandakan garisan 0 yang baru 100 meter dari kedudukan tugu.
“Tiada tugu baru dibina, cuma membina satu pentas kecil yang menunjukkan garisan kosong dengan tanda pembahagian hemisfera utara dan selatan,” katanya.
Selain di Pontianak, peristiwa itu juga berlaku di bandar lain Indonesia iaitu wilayah Sumatera Barat, Sulawesi Tengah, Maluku dan Irian Jaya.
Negara lain yang mengalami fenomena sama termasuk Zaire, Uganda, Kenya, Somalia, Equador, Colombia dan Brazil. Selain September, kejadian ini berlaku setiap Mac apabila matahari melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara bumi. – myMetro Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan